Kes rasuah setiausaha politik, tiada kaitan dengan sebarang projek: Salahuddin

Salahudin (tengah) dan Khalid (kiri) menyerahkan kontrak MOU kepada salah seorang penerima selepas melawat kilang Etika Dairies Sdn Bhd di Meru, tadi.
Salahudin (tengah) dan Khalid (kiri) menyerahkan kontrak MOU kepada salah seorang penerima selepas melawat kilang Etika Dairies Sdn Bhd di Meru, tadi.
A
A
A

KLANG – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menafikan setiausaha politik di kementeriannya terbabit menerima suapan jam tangan mewah bernilai RM28,000 berhubung projek di bawah sebuah kementerian.

Menurut beliau, projek yang didakwa itu sesuatu yang tidak masuk akal.

“Tiada apa-apa projek dan ia tidak masuk akal. Dia (setiausaha politik) masih lagi bekerja sejak hari pertama keluar dari tempoh reman.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadapnya dan saya sendiri tiada masalah sepanjang dia menjalankan tugasnya semula,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang Etika Dairies Sdn Bhd di Meru, di sin, tadi.

Turut hadir, timbalannya, Sim Tze Tsin dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Ketua Pegawai Eksekutif Etika Holdings- Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi.

Katanya, setakat ini siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai dan pihaknya menyerahkan kepada undang-undang untuk menentukan nasib kakitangannya itu.

“Kalau dia kena dakwa, biar undang-undang tentukan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Setiausaha Politik kepada Salahuddin dibebaskan 4 April lalu selepas direman selama empat hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima jam tangan jenama Omega bernilai kira-kira RM28,000 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, pemberian jam itu dipercayai sebagai dorongan daripada sebuah syarikat untuk membolehkan projek di bawah kementerian berkenaan dapat dibangunkan.

Sumber itu memaklumkan, siasatan awal mendapati jam itu bernilai tinggi dan sebagai hadiah kepadanya berkemungkinan bertujuan untuk memperoleh projek kementerian.

ARTIKEL BERKAITAN SPRM tahan setiausaha politik terima suapan jam RM28,000