Sabah umum RM100,000 kepada pesara kerajaan

Hajiji menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu.
Hajiji menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mengumumkan geran peruntukan khas RM100,000 yang akan diberikan setiap tahun kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah untuk melaksanakan program dan aktiviti masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengumuman itu antara empat inisiatif baharu untuk pesara sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

Katanya, tiga lagi inisiatif lain ialah tambahan Bantuan Khas Kewangan kepada pesara sebanyak RM150 yang akan dicarumkan dalam akaun i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kerajaan negeri akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII).

"Kerajaan juga akan menyediakan pejabat untuk pesara di beberapa daerah yang akan dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Selasa.

Majlis diadakan secara besar-besaran itu adalah bagi meraikan seramai 1,167 pesara daripada pelbagai gred yang telah bersara sepanjang 2019 hingga 2021.

Hajiji berkata, bagi menjaga kebajikan pesara sebagai aset penting, kerajaan juga menambah baik kemudahan rawatan perubatan yang turut dipanjangkan kepada ibu bapa pesara berpencen dan pesara skim KWSP melalui surat edaran bertarikh 15 Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengiraan faedah persaraan untuk pegawai yang dipersarakan atas sebab kesihatan juga telah ditambah baik dengan menambah tempoh perkhidmatan faedah persaraan secara isyarat untuk tempoh perkhidmatan yang kurang daripada 359 bulan.

"Kerajaan juga telah meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari, dan kebenaran penebusan awal award GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

"Peningkatan jumlah maksimum ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam negeri yang bakal bersara. Kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan 'award' wang tunai yang akan meningkatkan jumlah wang tunai yang diterima semasa bersara kelak," jelasnya.