Keputusan Lembaga Tatatertib diserah kepada Cikgu Mohd Fadli esok

Mohd Radzi - Foto Bernama
Mohd Radzi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung dakwaan salah laku guru matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh akan diserahkan kepadanya esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan itu akan dimaklumkan kepada guru berkenaan melalui ketua jabatan.

"Persidangan Lembaga Tatatertib baru sahaja tamat dan esok urusetia akan sampaikan keputusannya kepada Cikgu Mohd Fadli,” katanya kepada pemberita selepas hadir program Sukan Touch di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan terkini kes berkenaan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali pada Ahad berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bersidang pada Isnin setelah menerima surat representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Sebelum itu, Mohd Fadli menerusi laman Facebooknya mendedahkan beliau berdepan dengan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana didakwa menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang dikatakan terlalu tinggi.

Mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan guru berkenaan, Mohd Radzi berkata, perkara yang diutarakan Mohd Fadli itu telah diambil tindakan oleh kementerian sejak 6 Mac lalu antaranya penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

"Berkaitan lokar, sehingga kini hampir 40 peratus lokar sudah dipasang di sekolah dan ia masih dalam proses pemasangan seperti mana kita janjikan sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, silibus digunakan di sekolah adalah yang diperkenalkan sejak tahun 2007.

"Apabila silibus diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan, bermakna untuk sekolah rendah silibus ini diperkenalkan pada 2017 dan akan digunakan sehingga tahun 2022 (Tahun Satu hingga Enam) dan lengkaplah satu pusingan. Manakala bagi sekolah menengah kebangsaan pula, silibus diperkenalkan pada tahun 2017 dan tamat pada 2021.

"Telah saya jelaskan banyak kali bahawa KPM terbuka dan ambil pandangan semua pihak berhubung isu silibus ini, kita sentiasa semak silibus ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi turut memberi mengingatkan semua pihak agar perkara itu tidak dijadikan modal kempen pilihan raya.

“Nasihat saya kepada ahli politik, jangan politikkan isu ini kerana kementerian sentiasa semak silibus ini dan mahukan yang terbaik," katanya.