Platform sistem bayaran e-sukan

Cita Layar bertindak menjadi sistem sokongan kepada pertandingan itu melalui ‘Good Game Group’

A
A
A

Mujahid (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Cita Layar Sdn Bhd yang menjadi platform kepada sistem urusan bayaran untuk permainan dalam talian dan e-sukan di Malaysia.
Mujahid (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Cita Layar Sdn Bhd yang menjadi platform kepada sistem urusan bayaran untuk permainan dalam talian dan e-sukan di Malaysia.

Cita Layar Sdn Bhd akan menjadi platform sistem urusan bayaran untuk permainan dalam talian dan e-sukan di negara ini.

Pengarah Urusannya, Mujahid Hasanuddin berkata, syarikat telah menerima kelulusan bertulis daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Zahidi Zainal Abidin bagi melaksanakan sebuah sistem urusan bayaran untuk permainan dalam talian dan industri e-sukan berkenaan.

Menurutnya, syarikat itu akan bertindak menjadi sistem sokongan kepada sebarang penganjuran pertandingan e-sukan melalui ‘Good Game Group’.

“Banyak isu ‘online gaming’ dan bayaran pertandingan yang dikaitkan dengan perjudian, jadi bagi mengelak perkara itu berlaku, sistem ini memudahkan kerajaan untuk memantau setiap urusan membabitkan sukan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Icon City di sini pada Khamis.

Jelasnya, syarikatnya juga akan menyerap cukai yang dikenakan di mana pengguna tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar cukai permainan dan pertandingan di Malaysia.

Katanya, pihaknya juga telah bekerjasama dengan beberapa syarikat permainan dalam talian China, Hong Kong dan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

MUJAHID
MUJAHID

Dalam pada itu, Mujahid turut yakin lebih ramai bakat baharu e-sukan di Malaysia dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Matlamat kami adalah menyokong pembangunan bakat dan bina sukan di samping mewujudkan sebuah ekosistem yang berdaya dan mampan.

“Ini termasuklah mewujudkan peluang pekerjaan memandangkan permintaan pekerja adalah tinggi dalam industri tersebut,” kata beliau.

Beliau berkata, saiz pasaran permainan dalam talian Malaysia melebihi AS$786 juta (RM3.61 bilion) pada 2021 yang merupakan ketiga terbesar di Asia Tenggara.

Justeru katanya, Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan 2020 hingga 2025 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan rangka tindakan pembangunan dan kemajuan permainan dalam talian di Malaysia.

“Kini terdapat kira-kira 30 hingga 40 syarikat permainan dalam talian negara daripada prospek industri dengan nilai keluaran global permainan dalam talian dijangka mencecah AS$1.86 bilion (RM8.55 bilion) pada tahun 2025,” katanya.