Pelajar sekolah antara ditahan ketika leka berparti

Polis dan JHEAINPP menyerbu sebuah premis hiburan di Lebuh Chulia pada malam Ahad. Gambar kecil: Soffian
Polis dan JHEAINPP menyerbu sebuah premis hiburan di Lebuh Chulia pada malam Ahad. Gambar kecil: Soffian
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pelajar sekolah dan enam remaja antara 22 individu yang ditahan ketika sedang leka berparti liar di sebuah banglo tiga tingkat di Batu Ferringhi di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menyerbu inap desa tersebut pada jam 1.40 pagi setelah menerima maklumat awam serta risikan yang dijalankan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan lapan wanita yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun.

"Enam daripada mereka bawah umur dan seorang adalah pelajar sekolah. Kita turut merampas dua peket ketamin seberat 0.9 gram(g) dan tiga biji pil ekstasi yang kesemuanya bernilai RM195.

"Hasil siasatan mendapati, parti liar itu dianjurkan oleh seorang lelaki berusia 19 tahun dengan kadar sewaan banglo itu RM1,000 bagi satu malam. Suspek hanya menjemput rakan-rakannya melalui aplikasi 'Whatsapp Group' secara jemputan tertutup," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Azizon Noordin.

Soffian berkata, setiap individu yang menyertai parti liar itu perlu membayar wang antara RM80 hingga RM100.

"Lapan wanita yang menyertai parti itu tidak dikenakan sebarang bayaran kerana ia dibayar oleh pengunjung lelaki. Hasil saringan air kencing ke atas semua mereka mendapati enam lelaki positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Mereka direman selama enam hari bermula 13 hingga 18 Oktober untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

"Selain itu, kesemua yang ditahan dibawa ke Unit Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Timur Laut untuk sesi kaunseling dan ceramah. Sesi itu juga akan dihadiri waris terdekat mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, polis bersama JHEAINPP menyerbu sebuah premis hiburan di Lebuh Chulia, di sini pada Ahad.

Kata beliau, dalam serbuan itu, pihaknya memeriksa 83 orang pengunjung berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun.

"Kesemua yang diperiksa negatif dadah. Seramai 14 individu beragama Islam melibatkan enam lelaki dan enam wanita tempatan serta empat wanita warga asing ditahan JHEAINPP kerana kesalahan minum minuman memabukkan.

"Kes disiasat oleh JHEAINPP mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996," katanya.