Tok batin terima 'buah tangan' RM1,000

Ismail Sabri menyempurnakan gimik penyampaian bantuan khas sekali bayar kepada tok batin/penghulu Orang Asli melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM624,000.
Ismail Sabri menyempurnakan gimik penyampaian bantuan khas sekali bayar kepada tok batin/penghulu Orang Asli melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM624,000.
A
A
A

TAPAH - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pemberian bantuan khas sekali bayar RM1,000 kepada setiap tok batin atau penghulu Orang Asli di seluruh negara.

Menurutnya, pemberian melibatkan peruntukan sebanyak RM624,000 itu sebagai tanda penghargaan Kerajaan Keluarga Malaysia atas sumbangan jasa dan tenaga tok batin dan penghulu dalam pembangunan dan adat warisan masyarakat Orang Asli.

"Saya ada buah tangan kepada Tok Batin semua. Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM1,000 kepada setiap tok batin atau penghulu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM624,000.

"Sumbangan ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Felcra Berhad & Pekebun Kecil RISDA di Arena Merdeka Tapah di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana di perkampungan Orang Asli tetapi juga membangunkan ekonomi dalam kalangan belianya.

Katanya, atas faktor itu, dalam bajet tahun ini, sebanyak RM2.7 juta telah diperuntukan kerajaan untuk membangunkan ekonomi belia dalam kalangan Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

"Bagi masyarakat Orang Asli di Tapah ini, kerajaan telah membuka pusat latihan kemahiran bagi melatih belia komuniti itu dalam pelbagai bidang," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil yang terjejas seperti diumumkan sebelum ini akan diagihkan pada November dan Disember ini.

Jelasnya, bantuan itu membabitkan peruntukan RM191 juta melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA dengan kadar RM600.

"Insya-ALLAH, pada tahun 2023, Kerajaan Keluarga Malaysia akan menyediakan peruntukan ini dengan peningkatan kepada RM800, selain turut dipanjangkan kepada pekebun kecil di bawah Felda.

"Kerajaan juga telah menyediakan bantuan berupa geran sekali bayar berjumlah RM15,000 dengan pecahan RM10,000 untuk pembelian peralatan dan RM5,000 bagi tujuan latihan golongan belia

pekebun kecil," katanya.