Bajet 2023 akan dibentang semula sebelum hujung tahun: PM

Ismail Sabri berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama peserta Felcra Berhad, pekebun kecil RISDA dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena Merdeka dekat sini pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama peserta Felcra Berhad, pekebun kecil RISDA dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena Merdeka dekat sini pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Bajet 2023 akan dibentangkan semula sebelum akhir tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bajet berkenaan perlu dibentang semula memandangkan pembubaraan Parlimen yang dibuat sebelum ia dibahas dan diluluskan.

"Kita dah umum bajet, macam-macam yang kita nak bagi kepada rakyat terutama orang kampung.

"Tetapi kita belum luluskan lagi, kita kena bentang dulu dan akan bentang sekali lagi sebelum akhir tahun ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta Felcra Berhad, pekebun kecil RISDA dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena Merdeka dekat sini pada Isnin.

Ismail Sabri memberi keyakinan, semua intipati dalam bajet berkenaan akan diluluskan dan dilaksanakan sekiranya mendapat mandat sekali lagi sebagai kerajaan.

"Kalau orang lain perintah, saya tidak jamin dapat apa yang dijanjikan. Kalau kita perintah dan saya sekali lagi jadi Perdana Menteri, Insya-ALLAH semua bajet yang dibentangkan akan kita luluskan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan bajet bukan seperti janji manifesto kerana apabila sudah dibentangkan, bermakna kerajaan telah bersedia untuk melaksanakannya.

"Bajet apabila dibentangkan bermakna duit sudah tersedia ada, itu bezanya, duit sudah ada cuma tunggu lulus sahaja, apabila dah lulus, terus boleh dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.

Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.