Selangor sedia 700 PPS hadapi banjir

Dari kanan: Rodziah; Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Sze Han semasa merasmikan MUF2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.
Dari kanan: Rodziah; Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Sze Han semasa merasmikan MUF2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengenal pasti kira-kira 700 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri tersebut sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, jumlah berkenaan meliputi PPS kekal dan yang ditambah oleh kerajaan Selangor.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyedia dan menghantar barangan keperluan asas di lokasi termasuk balai-balai penghulu.

"Dulu masalah kita ialah semua bekalan tersebut berpusat di Sungai Buloh, sekarang kita agihkan semuanya di PPS utama setiap daerah.

"Jadi tidak akan ada lagi bekalan berpusat seperti sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar Persidangan Malaysia Urban Forum 2022 (MUF2022) di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah bersiap sedia bagi menghadapi bencana tersebut.

Beliau turut menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang menyediakan tempat letak kenderaan sementara bagi membolehkan penduduk di kawasan berisiko banjir mengalihkan aset mereka.

"PBT lain mempunyai kaedah berbeza untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kalau PBT lain ada keperluan (sediakan tempat letak kenderaan sementara), saya lihat ia sebagai satu inisiatif yang baik," katanya.

Pada Jumaat, MBSJ memaklumkan menyediakan 23 lokasi yang dijadikan tempat pemindahan kenderaan sebelum berlakunya bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

MBSJ dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kawasan tersebut dibahagikan kepada lima zon iaitu Kota Kemuning, Subang Jaya, Seri Kembangan, Sri Serdang dan Kinrara.