Isteri maut, suami parah kereta terbabas langgar pokok

Keadaan kereta Toyota Vios yang terbabas lalu melanggar pokok di lokasi kejadian pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Toyota Vios yang terbabas lalu melanggar pokok di lokasi kejadian pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARAN - Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Taman Rantau Perintis, Bandar Pusat Jengka di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Fazilah Abdullah Sani, 56, yang duduk di bahagian depan penumpang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, pemandu iaitu suami mangsa, Mohamad Nordin Aziz, 58, masih berada di Zon Merah di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Menurutnya, seorang lagi penumpang iaitu seorang wanita berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal yang telah dijalankan mendapati pemandu kenderaan itu bersama isteri dan seorang saudaranya dari arah Bandar Jengka menghala ke rumahnya.

"Setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu oleh lelaki itu telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok.

"Akibat kemalangan tersebut penumpang hadapan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar Norzamri, bedah siasat akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19.

Tambah beliau, siasatan lanjut diteruskan dan mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, seramai empat anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut.

"Terdapat dua orang mangsa terdiri seorang lelaki dewasa cedera parah dan seorang wanita dewasa meninggal dunia disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Semua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian," ujar beliau.

Tambah Zulfadli, pihak bomba membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi yang yang cedera diserahkan kepada pihak KKM dan mangsa yang maut kepada pihak polis.