Bantu kumpul makanan, keperluan asas

Pelbagai barangan yang dikumpulkan di Lotus's Malaysia menerusi inisiatif World Food Day Food Drive untuk diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen.
Pelbagai barangan yang dikumpulkan di Lotus's Malaysia menerusi inisiatif World Food Day Food Drive untuk diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen.
A
A
A

KEPONG - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen bagi pengumpulan makanan dan keperluan asas menerusi inisiatif World Food Day Food Drive.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus's Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, kotak khas akan disediakan di lima lokasi bagi membolehkan pelanggan pasar raya itu turut sama menyumbang.

Menurutnya, lokasi tersebut ialah Lotus’s Kepong, Tanjung Pinang (Pulau Pinang), Station 18 (Perak), Melaka dan Seri Alam (Johor).

“Kempen berlangsung hingga 31 Oktober ini dan sumbangan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen untuk agihan kepada golongan sasar.

“Bagi menyokong inisiatif ini, Lotus’s Malaysia turut menyumbang makanan dan keperluan asas lain seperti beras, minyak dan makanan segera bernilai RM3,000,” katanya sempena program perasmian inisiatif World Food Day Food Drive di Lotus’s Kepong di sini pada Ahad.

Majlis disempurnakan oleh aktivis sosial, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azliza Baizura berkata, Lotus’s Malaysia telah bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen bagi program sosial sejak tahun 2016.

“Sebelum ini kami turut bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen bagi program pengumpulan sisa makanan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyambut baik usaha dijalankan Kechara Soup Kitchen kerana selari dengan komitmen kami untuk sama-sama membantu komuniti serta menjaga kelestarian alam,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah berbesar hati apabila Lotus’s Malaysia sudi memberikan kerjasama bagi inisiatif tersebut.

Beliau turut menyasarkan 3,000 penerima akan menerima manfaat menerusi program berkenaan.

“Kami akan mengedarkan sumbangan ini kepada penerima yang dikenal pasti antaranya ibu tunggal, warga emas, orang sakit dan keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.

“Bantuan ini juga tidak tertumpu kepada penduduk projek perumahan rakyat (PPR) sahaja tetapi di kawasan-kawasan memerlukan di seluruh negara,” tambah beliau.