Bekalan minyak masak, tepung gandum cukup

Penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru buat pemeriksaan terhadap bekalan telur ayam di sebuah premis pada Ahad. - Foto KPDNHEP Johor
Penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru buat pemeriksaan terhadap bekalan telur ayam di sebuah premis pada Ahad. - Foto KPDNHEP Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Bahru mengesahkan bekalan tepung gandum dan minyak masak (GMT) mencukupi bagi sekitar Johor Bahru.

Menurut satu kenyataan pada Ahad, pengesahan berkenaan dibuat hasil pemeriksaan di sekitar Kota Masai dan Pasir Gudang melibatkan beberapa pasar raya dan kedai runcit.

“Pemeriksaan kali ini secara keseluruhannya adalah bertujuan untuk memastikan bekalan makanan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak mencukupi di sepanjang masa di sekitar Pasir Gudang.

“Hasil pemeriksaan hari ini (Ahad), mendapati kesemua bekalan berkenaan didapati mencukupi dan tiada sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah berlaku,” menurut kenyataan berkenaan.

Untuk rekod, pemeriksaan kali ini melibatkan seramai empat penguat kuasa di Johor Bahru yang menjalankan beberapa pemeriksaan melibatkan Omnipresent, Pemeriksaan Tanda Harga, Timbang Sukat, Ops ATM dan bekalan GMT.

Sementara itu menurut kenyataan berkenaan lagi, hasil pemeriksaan turut mendapati peniaga di kawasan sekitar patuh kepada undang-udang dengan mempamerkan dengan jelas tanda harga bagi barangan jualan masing-masing.

Menurut kenyataan berkenaan, peniaga juga didapati menggunakan alat timbang sukat yang masih boleh elok dan dalam tempoh tentusahan.

“Pada pemeriksaan kali ni sejumlah 40 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan di semua premis yang dilawati.

Artikel Berkaitan:

“Tujuan KPP ini dikeluarkan adalah bagi tujuan rekod pada masa akan datang,” menurut kenyataan berkenaan.