'Jangan bermusuh walaupun tidak berkawan' - Takiyuddin

Takiyuddin ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pendakian 121 Puncak (Forestry 121 Peaks) di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Bernama
Takiyuddin ketika berucap pada Majlis Penutup Program Pendakian 121 Puncak (Forestry 121 Peaks) di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Pas untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak bermakna parti itu akan bermusuh dengan BN khususnya UMNO.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, atas prinsip penyatuan ummah partinya tidak sesekali mengisytiharkan parti yang ‘dekat’ dengan mereka itu sebagai musuh.

“Kalau perhatikan betul-betul kenyataan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (pun) tidak ada (kata bermusuh).

“Sebab apabila kita menyatakan penyatuan ummah, kita tidak boleh bermusuh (dengan UMNO) walaupun tidak berkawan.

“(Maksudnya kalau) tidak boleh berkawan jangan isytiharkan sebagai musuh. Itu tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Pendakian 121 Puncak sempena ulang tahun ke-121 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Dataran Batai, Taman Eko Rimba di sini pada Ahad.

Tambahnya, sehingga kini Pas masih lagi terbuka untuk mengadakan rundingan dengan UMNO dalam menghadapi pilihan raya penting ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada Khamis telah membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi dalam satu kenyataan media menjelaskan keputusan untuk terus bersama PN adalah atas prinsip penyatuan ummah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Takiyuddin turut mengakui sedia mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu sekiranya dicalonkan oleh partinya untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun katanya, ketika ini partinya belum memuktamadkan lagi senarai calon untuk PRU15.