Elak tuduh-menuduh antara Pas, UMNO: Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN P.090 Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Ahad.
Ismail Sabri ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN P.090 Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - Pemimpin Pas dan UMNO yang sebelum ini pernah cuba bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) perlu mengelak saling mencaci dan menuduh antara mereka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, sebagai umat Islam tidak sepatutnya menyerang sesama sendiri kerana setiap hubungan yang bermasalah tidak mustahil boleh dipulihkan dan baik semula akan datang.

"Kita dalam politik ini tidak selama-lamanya menjadi musuh dan tidak selama-lamanya menjadi kawan.

"Elakkan menyakitkan hati sesama kita, mana tahu satu hari nanti kedua pihak akan berbaik semula demi kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung keputusan Pas menangguhkan kerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih terdapat 'kekeruhan' dalam parti itu.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN P.090 Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, tuduh yang bukan-bukan antara pemimpin parti boleh menyebabkan timbul sakit hati dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, saya mengelak dari mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa," jelasnya.