Bersatu Terengganu sedia guna logo lain jika boleh menang

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu bersedia untuk menggunakan logo lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Rosol Wahid berkata, sebarang keputusan parti akan dipatuhi sekiranya tindakan bertanding dengan logo lain mampu meraih kemenangan buat Perikatan Nasional (PN).

"Kita bersedia asal kita boleh menang, terserah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan guna logo mana," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Sebelum ini, tiga negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menggunakan logo parti sendiri bagi semua calon yang akan bertanding dalam PRU15.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan menggunakan simbol sendiri memandangkan parti berkenaan mempunyai sokongan padu di tiga negeri tersebut.

Katanya, Pas akan berbincang dengan Bersatu mengenai keputusan menggunakan logo parti itu.

Mengulas mengenai kedudukan pada PRU15, Rosol yang merupakan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberi bayangan bakal mempertahankan kerusi tersebut dengan 80 peratus peluang akan kekal di sana.

Walaupun ada dakwaan mengatakan kedudukannya tidak begitu kukuh di Hulu Terengganu, beliau mengambil pendirian sudah memberi khidmat terbaik buat rakyat selama empat tahun menjadi wakil rakyat di sana.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak tahu kesannya sebelum diuji, kena uji dulu baru tahu kuat atau tidak.

"Saya sudah buat yang terbaik untuk rakyat, terserah kepada mereka untuk menilai. Saya keluar UMNO, tetapi bukan lari dan tidak berkhidmat, sebaliknya untuk menjadikan keadaan lebih baik," katanya.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN memperoleh sebanyak 30,925 undi menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid (28,057 undi) dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris (3,374 undi).