Tiga negeri Pas pakai lambang bulan

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Tiga negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menggunakan lambang parti sendiri bagi semua calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan menggunakan simbol sendiri memandangkan parti berkenaan mempunyai sokongan padu di tiga negeri tersebut.

"Negeri-negeri yang Pas kuat iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah, kita pakai simbol bulan. Negeri-negeri lain mungkin kurang 'tahu' mengenai Pas. Tak apa lah kita maaflah.

"Apa yang penting kita nak ajak semua rakyat Islam, bukan Islam tolok penerima dan pemberi rasuah. Tolak yang 'keruh' pilih yang nak menjernihkan keadaan," katanya ketika menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut, di sini, pada Jumaat..

Bekas Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas akan berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai keputusan menggunakan lambang parti itu.

Pada Julai lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, Bersatu dan Pas sudah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN pada PRU15 malah perkara itu turut dipersetujui Abdul Hadi.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Muktamar Pas Ke-68 awal bulan lalu berkata, sejumlah besar perwakilan bimbang dengan logo PN yang berwarna biru kerana menyamai warna logo BN.

Awal September lalu, Sanusi berkata, cadangan Pas untuk menggunakan logo sendiri di Terengganu, Kelantan dan Kedah akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Artikel Berkaitan: