Terengganu sedia rai PM, anggota Kabinet sebagai tetamu istimewa

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengalu-alukan dan akan meraikan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan kerajaan Pusat sebagai tetamu istimewa sempena penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang dijadualkan pada 13 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau melihat perbezaan latar belakang parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri bukan halangan untuk mereka bekerjasama.

"Kita cuba buktikan bahawa di Terengganu walaupun kita berbeza parti politik yang memerintah negeri dan persekutuan, namun kita sesekali tidak menganggap ia sebagai halangan untuk bekerjasama.

"Jadi sila datang, Insya-ALLAH kita raikan sebagai tetamu yang istimewa," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Seri Iman, di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada beliau melihat kedatangan itu bertujuan meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.

"Walau apa pun objektif akhir yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) Persekutuan tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet untuk beraya di Terengganu.

"Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, Insya-ALLAH kita mengalu-alukan kehadiran mereka. Kita tidak merasakan apa-apa, kita rasa sangat gembira mereka datang. Insya-ALLAH, kita raikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau difahamkan enam negeri yang akan terlibat sempena penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani namun katanya beliau melihat hanya tiga negeri yang diuar-uarkan di dada akhbar.

"Keenam-enam negeri ini adalah negeri yang akan menghadapi pilihan raya," ujar beliau.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan bahawa Anwar tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri seperti kelaziman yang diadakan setiap 1 Syawal di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Bagaimanapun, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri julung kali akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, terdapat tiga lagi majlis serupa yang akan dihadiri Perdana Menteri yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.