Sarawak United enggan tercicir

Sarawak United akan mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga M musim depan. Gambar kecil: Posa Majais
Sarawak United akan mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga M musim depan. Gambar kecil: Posa Majais
A
A
A

SARAWAK United FC akan membuat rayuan bagi mendapatkan lesen kebangsaan yang digantung sebelum ini kerana tidak rela melepaskan peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais berkata, pihaknya akan membuat rayuan ke atas keputusan First Instance Body (FIB) selewat-lewatnya pada Isnin bagi memastikan pasukannya tersenarai dalam saingan Liga Super 2023.

“Kita sudah sedia untuk merayu kerana dokumen-dokumen yang tidak lengkap sudah siap sepenuhnya.

“Kita sebenarnya cuma kekurangan masa kerana maklum balas yang diperoleh daripada jabatan-jabatan terlibat itu lambat.

“Apabila lambat, ia akan berlaku sedikit kelewatan bagi pihak kami untuk uruskan dokumen-dokumen yang diminta oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), sekali gus melepasi tempoh yang ditetapkan.

“Apa pun, insya-ALLAH kami akan mohon semula sebelum tarikh akhir yang ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sebelum ini Sarawak United FC dan Melaka United FC gagal meraih lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FIB.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak United muncul pasukan paling bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan.

Artikel Berkaitan:

Melaka United pula hanya satu dengan masalah utama berkaitan kegagalan melunaskan tunggakan gaji sehingga Ogos 2022.

Bagaimanapun, pasukan tersebut diberi peluang untuk merayu sehingga 19 Oktober dengan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang hari ber-kenaan.

Dalam pada itu, Posa turut menjelaskan penarikan lesen oleh FIB ke atas Sarawak United tiada kaitan dengan masalah kewangan.

Sebaliknya, kata beliau, ia disebabkan masalah-masalah kecil antaranya dari segi penyediaan infrastruktur.

Justeru, beliau berharap rayuan yang dikemukakan dapat diluluskan supaya pasukannya dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Kesalahan ini sebenarnya bukan masalah besar seperti hutang tertunggak tetapi dari segi infrastruktur untuk menyediakan venue perlawanan.

“Jadi, kami merayu supaya permohonan untuk dapatkan lesen beraksi di Liga Super 2023 diluluskan,” ujarnya.