Bersih tuntut SPR jelaskan perubahan kawasan mengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung perubahan kawasan mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang didakwa berlaku tanpa keizinan pengundi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, Bersih menerima beberapa laporan daripada orang ramai bahawa kawasan DUN dan Parlimen untuk mengundi telah diubah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

"Terdapat dua pemilih di Sabah telah diubah DUN dan Parlimen mereka. Pada PRU14 dan PRN Sabah yang lepas, mereka mengundi di Parlimen Tawau/DUN Sri Tanjung, namun mereka mendakwa telah diubah ke Parlimen Kalabakan/DUN Merotai.

"Selain itu, Naib Ketua Cabang PKR Batu, Rozan Azen Mat Arip juga telah mendakwa empat pengundi di cabang mereka telah ditukarkan ke Parlimen Gombak, Wangsa Maju dan Kepong," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Bersih, berdasarkan Seksyen 12A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, sekiranya seseorang pemilih ingin menukar tempat pengundian, mereka hendaklah memohon kepada Pendaftar SPR atau Penolong Pendaftar dengan mengisi Borang A untuk menukar alamat.

"Namun daripada siasatan kami, pemilih tersebut tidak pernah memohon pertukaran tempat pengundian," katanya.

Dalam masa sama, Bersih turut mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Rozan bagi siasatan di bawah Seksyen 282 Kanun Keseksaan.

"Apakah alasan penahanan Rozan apabila beliau hanya membantu pengundi untuk menyemak status dan tempat pengundian mereka? Sekiranya wujud penukaran tempat pengundian tanpa kebenaran pengundi, pihak polis sepatutnya menyiasat dalang di sebalik penukaran tersebut dan bukannya menangkap pengadu.

Artikel Berkaitan:

"Bersih juga mendesak pihak SPR untuk segera menjelaskan perubahan yang berlaku tanpa keizinan pengundi.

"Ketidakjelasan dalam proses dan perubahan yang tidak dimaklumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada SPR malah lebih berbahaya terhadap proses pilihanraya itu sendiri," katanya.