Gerakan tampil 80 peratus muka baharu

Dominic Lau (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Gerakan Perak di sini pada Sabtu.
Dominic Lau (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Gerakan Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menampilkan 80 peratus muka baharu sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Ahli Jawatankuasa kerja Gerakan Pusat telah membuat ketetapan untuk menampilkan lebih ramai muka baharu.

Jelas beliau, calon-calon ditampilkan juga berbilang kaum dan pelbagai latar belakang yang berpotensi untuk menang.

"Kita adalah satu pasukan campuran daripada calon berpengalaman bersama-sama orang muda muka baharu untuk bertanding dalam PRU15.

"Pertimbangan kita adalah winnable candidate maksudnya peratusan boleh menang dan boleh diterima rakyat. Inilah kriteria yang akan dipertimbangkan untuk PRU15," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Gerakan Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi, Dominic Lau berkata, perkara itu hampir selesai dimuktamadkan.

Menurutnya, Gerakan dijangka bertanding melebihi kerusi tradisi yang diwakili pada pilihan raya umum lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh di Perak, beliau berkata, Gerakan tidak hanya bertanding kerusi Parlimen Taiping, Teluk Intan dan Beruas tetapi lebih dari itu pada PRU15.

"Bagaimanapun kita tidak boleh umumkan jumlah kerusi dan di mana kita akan bertanding kerana ia akan diumumkan bersama rakan PN.

"Kita telah pun membuat persediaan rapi bagi menghadapi PRU15. Siapa pun calon bertanding mewakili PN, kita akan pastikan kemenangannya," katanya.

Dalam pada itu, Dominic Lau turut mengumumkan Persidangan Perwakilan Nasional (NDC) Gerakan ditangguhkan ke bulan Disember depan bagi memberi tumpuan kepada PRU15.