75 peratus unit rumah Residensi Advena terjual hari pertama

Mahmud (tengah) pada Majlis Pelancaran Residensi Advena di Kompleks PKNS Shah Alam pada Sabtu.
Mahmud (tengah) pada Majlis Pelancaran Residensi Advena di Kompleks PKNS Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 75 peratus daripada 232 unit rumah Residensi Advena di Seksyen 16 habis dijual pada hari pertama pelancarannya di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam di sini pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, beliau percaya sambutan amat menggalakkan daripada pembeli kerana harga yang ditawarkan berpatutan.

Menurutnya, harga ditawarkan bermula dari RM388,000 sehingga RM398,000 bagi sebuah pangsapuri yang terletak di kawasan strategik di tengah bandar raya Shah Alam.

Jelasnya, Residensi Advena berkeluasan 941 kaki persegi mempunyai dua blok iaitu sebuah bangunan 14 tingkat dan sebuah lagi 20 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah lebih RM91 juta.

"PKNS komited dalam menyediakan perumahan mampu milik yang sesuai untuk semua golongan. Seperti objektif asal penubuhannya untuk membina kediaman selesa untuk rakyat.

"Kami menyasarkan Residensi Advena ini mampu menarik minat para pelanggan terutama yang ingin menikmati kehidupan di tengah bandar raya Shah Alam," katanya pada Sabtu.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Residensi Advena Seksyen 16 di Kompleks PKNS Shah Alam. Program berlangsung selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad.

Mahmud memaklumkan, setiap unit projek dibina dengan rekaan moden dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta lengkap kemudahan fasiliti menyeluruh antaranya kolam renang, gimnasium, tempat letak kenderaan bertingkat, dewan serbaguna, surau, kiosk kedai, pejabat pengurusan dan bilik bacaan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang membuat pendaftaran pada hari pelancaran Residensi Advena di Kompleks PKNS Shah Alam.
Orang ramai yang membuat pendaftaran pada hari pelancaran Residensi Advena di Kompleks PKNS Shah Alam.

Selain itu, beliau berkata, lokasinya di kelilingi pelbagai kemudahan awam komprehensif di kawasan sekitar antaranya universiti, sekolah, hospital, klinik, pusat membeli-belah, masjid dan pengangkutan awam di samping mempunyai akses dengan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Menurut Mahmud, PKNS juga menyediakan pelbagai pakej menarik khusus buat pembeli Residensi Advena antaranya yuran guaman dan duti setem MOT percuma.

"Bagi memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan pinjaman, program pelancaran sepanjang dua hari di Kompleks PKNS Shah Alam turut disertai sembilan panel institusi perbankan yang menawarkan pelbagai pakej pembiayaan pinjaman yang cukup menarik.

"Kami percaya sasaran untuk menghabiskan kesemua 232 unit dalam masa kurang sebulan akan tercapai dengan mengambil kira lokasi dan harganya yang amat berpatutan juga sangat sesuai untuk mereka yang mencari rumah pertama mahupun menjadikannya sebagai aset pelaburan," katanya.

Untuk urusan tempahan dan sebarang maklumat lanjut, sila hubungi talian hunting line PKNS di 03-5022 0189.