Peluang 3 pasukan sambar slot Piala AFC 2023 masih terbuka

Azraai Khor
Azraai Khor
A
A
A

DRAMA perebutan gelaran naib juara dan tempat ketiga Liga Super hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak menjelang aksi terakhir pada Sabtu.

Ia bagi memburu tiket untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika slot Liga Juara-Juara Asia (ACL) sudah dalam genggaman Johor Darul Ta'zim (JDT) yang unggul dengan Piala FA dan kejuaraan kesembilan Liga Super.

Peluang terhidang buat Sabah FC yang menghuni tangga kedua Liga Super setelah mengutip 42 mata.

Namun, turut mengintai peluang ke pentas Asia itu ialah Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berkongsi 41 mata menghuni tangga ketiga serta keempat liga.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, peluang masih terbuka buat ketiga-tiga pasukan tersebut, namun perlu menunggu keputusan aksi terakhir liga pada Sabtu.

“Sabah FC, TFC dan NSFC berpotensi untuk merebut dua tiket AFC. Peluang masih terbuka dan pasukan mana yang layak, Sabtu ini jadi penentuan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Percaturan di atas kertas, Sabah FC yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee berdepan tugas getir kerana akan bertandang ke laman keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim, namun bukan mustahil untuk melakar kejutan.

Skrip berbeza buat TFC dan NSFC yang dilihat mempunyai peluang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Skuad bimbingan Nafuzi Zain akan berkunjung ke Alor Setar menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, manakala NSFC yang dikendali K Devan pula akan ke Kuantan bertembung Sri Pahang FC.

Azraai berkata, ketiga-tiga pasukan mempunyai kelebihan dan berada pada prestasi terbaik, namun aksi terakhir menjadi penentu hala tuju mereka pada musim 2023.

Katanya, Sabah FC berdepan tugas rumit, lebih-lebih lagi JDT berazam mengekalkan rekod tanpa kalah pada edisi kali ini.

“Namun dalam bola sepak, sebarang kemungkinan boleh terjadi,” katanya.

Tambah beliau, TFC berada di puncak prestasi setelah memenangi tiga aksi berturut-turut ketika KDA FC seakan hilang motivasi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Katanya, NSFC pula sebuah pasukan yang mantap dan sering melakukan kejutan ke atas pasukan lawan.

“Peluang TFC dan NSFC lebih cerah, namun saingan pasukan lawan tidak boleh dipandang mudah kerana bakal mengundang padah.

“Apa pun, aksi terakhir menjadi tumpuan untuk melihat dua kelab raih slot AFC,” katanya.