PRU15: Warisan pilih peguam calon Parlimen Sipitang

Adnan Puteh diumumkan sebagai calon Warisan bagi kerusi Parlimen Sipitang.
Adnan Puteh diumumkan sebagai calon Warisan bagi kerusi Parlimen Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Parti Warisan (Warisan) mengumumkan peguam kanan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Bendahari Bahagian Sipitang, Datuk Adnan Puteh sebagai calon ketika berucap pada program Sabah Bangkit, Sipitang Bangkit di Kampung Pangiran di sini pada Jumaat.

"Hari ini saya umumkan calon. Sipitang bangkit. Calon dia ialah seorang peguam kanan. Memujuk dia bukan senang.

"Saya bersekolah dengan dia di London, saya beritahu dengan Datuk Adnan saya mahu suara lantang sebagai seorang peguam memperjuangkan hak kita di Parlimen.

"Jadi tuan-tuan dan puan-puan, padukan tenaga kita, menangkan Datuk Adnan Puteh, boleh?" katanya sambil melaungkan Sipitang bangkit ketika berucap dalam majlis itu.

Beliau dalam pada itu berharap kemenangan berpihak kepada Warisan bagi kerusi Parlimen di bahagian pantai timur dan pantai barat Sabah.

"Di Sabah ini, kita perlukan jumlah Parlimen. Saya yakin di pantai timur, Insya-ALLAH kita akan menang. Cuma saya minta di pantai barat di Sipitang, Kimanis dan Putatan, Insya-ALLAH kita boleh ambil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Mohd Shafie mengumumkan akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu di Labuan menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang ditandingi adalah sebanyak 26 kerusi Parlimen.

Artikel Berkaitan: