Pengundian awal catat 96 peratus keluar mengundi

Pengerusi SPR Azhar Harun (tiga dari kanan) meninjau pusat pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Rantau di Balai Polis Rantau, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
Pengerusi SPR Azhar Harun (tiga dari kanan) meninjau pusat pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Rantau di Balai Polis Rantau, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A
A

SEREMBAN - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung hari ini merekodkan jumlah keluar mengundi yang tinggi iaitu sekitar 96 peratus daripada 110 pengundi yang layak mengundi, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian awal yang dilaksanakan di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, ditutup pada pukul 12 tengah hari selepas berlangsung selama empat jam bermula 8 pagi tadi.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktomer), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu yang akan diadakan pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah. - Bernama

Artikel Berkaitan: