Op Tapis: 11,472 ditahan, dadah 2.94 tan dirampas

PDRM
PDRM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 11,472 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis di seluruh negeri bermula 1 Januari hingga Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Op Tapis dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melibatkan tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan panas atau 'hotspot'.

Antaranya jeti-jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), "port" penagih dan kawasan Felda.

"Sepanjang operasi, seramai 23,973 individu telah diperiksa dengan 11,472 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Daripada jumlah yang ditahan itu seramai 10,692 individu terdiri daripada lelaki dan 780 individu wanita berusia 13 hingga 70 tahun atas kes bekalan (2,240 orang), memiliki dadah (3,912) dan penagih dadah ( 5,320). Turut ditahan, 3,100 individu berstatus orang dikehendaki.

"Selain itu, seramai 195 orang yang dikategorikan sebagai tokan dadah. Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 136 individu bagi tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, menerusi operasi yang sama, sebanyak 2.94 tan dadah bernilai RM12.43 juta berjaya dirampas.

"Dadah yang dirampas terdiri daripada 62.22 kilogram (kg) heroin 118.87 kg, syabu (114.78kg), ketamin (18.42 kg), pil erimin 5 (54,084 biji), pil yaba (3,974 biji), pil ekstasi (20,900 biji), serbuk ekstasi (35.17 kg), daun ketum ( 984.07kg), air ketum (16,743 liter), pil nospan (306 biji), serbuk dadah (267.30 kg) dan magic mushroom (18.18 kg).

Artikel Berkaitan:

"Turut disita harta sindiket dadah bernilai RM7.5 juta," ujarnya.

Tegas Kamarul Zaman, JSJN Johor komited memerangi musuh utama negara ini dan mengekang penyeludupan dadah ke negara jiran melalui tindakan bersepadu dengan tumpuan kawasan perairan pantai yang menjadi lokasi transit penyeludupan dadah.

Justeru itu katanya, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah yang berlaku ke hotline JSJN di talian 012-2087222.