WTCKL, pusat dagangan dunia pertama guna tenaga hijau

WTCKL menempa sejarah menjadi Pusat Dagangan Dunia pertama di seluruh dunia menggunakan tenaga hijau.
WTCKL menempa sejarah menjadi Pusat Dagangan Dunia pertama di seluruh dunia menggunakan tenaga hijau.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menempa sejarah menjadi Pusat Dagangan Dunia pertama di seluruh dunia menggunakan tenaga hijau.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, beberapa faedah diperoleh apabila menggunakan sumber tenaga hijau untuk bangunan tersebut.

"Ia termasuk pengurangan pelepasan pelepasan karbon, perbelanjaan tenaga yang lebih murah dan peluang pemasaran yang lebih luas.

"Kesan kepada alam sekitar sumber ini harus diberi perhatian. Kerjasama bersama industri adalah satu-satunya strategi yang boleh membantu kita untuk maju ke hadapan,” katanya pada majlis pelancaran platform pembiayaan tenaga hijau Itramas Corporation Sdn Bhd (Itramas) dan Burj Energy International Management Ltd (Burj Energy) di WTCKL pada Khamis.

Usaha sama antara syarikat kejuruteraan Malaysia, Itramas dan syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Dubai, Burj Energy menyediakan pembiayaan untuk institusi dan perniagaan korporat di Asia untuk mengguna pakai tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian kecekapan tenaga pada kos yang lebih rendah.

Kerjasama Burj Energy-Itramas itu melibatkan pembiayaan dan pengurangan risiko teknologi, pembinaan, pentauliahan dan operasi untuk pemasangan tersebut untuk perniagaan yang mahu mengguna pakai tenaga dan amalan hijau tanpa ada komitmen sumber kewangan secara langsung untuk melakukannya melalui perbankan atau pinjaman.

Burj Energy-Itramas telah menandatangani perjanjian pembekalan bagi tempoh 21 tahun untuk tenaga boleh diperbaharui dengan syarikat pengurusan WTCKL Putrade Property Management Sdn Bhd bagi membekalkan tenaga hijau kepada pusat perdagangan itu.

Irmohizam berkata, sistem solar itu dijangka menjana sehingga 650,000 kilowatt-jam (kWh) tenaga hijau setahun dengan pemasangan fotovoltaik solar puncak 501 kilowatt sekali gus mengurangkan bersamaan kira-kira 500 tan metrik pelepasan karbon dioksida setiap tahun dan lebih daripada 10,000 tan metrik dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, WTCKL berbangga menjadi projek pertama yang dibiayai oleh platform pembiayaan tenaga hijau Burj Energy-Itramas kerana platform pembiayaan itu membolehkan institusi dan perniagaan korporat membuat peralihan kepada penggunaan tenaga hijau.

Dalam model ini, perjanjian pembelian kuasa (PPA) swasta akan ditandatangani antara pemilik perniagaan dan Burj Energy-Itramas di mana pemilik perniagaan membeli elektrik terus daripada Burj Energy-Itramas dan seterusnya mengendalikan dan mengurus sistem penjanaan tenaga hijau untuk keseluruhan tempoh PPA tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Itramas, Lee Choo Boo berkata, syarikatnya berbesar hati kerana Burj Energy menyertai komitmen jangka panjang untuk mengurangkan jejak karbon di Malaysia.

"Itramas teruja untuk meneruskan sumbangan kami kepada peralihan tenaga hijau Malaysia dan terus merealisasikan cita-cita teknologi hijau kami,” katanya. - Bernama