Pengurus bank disyaki seleweng duit pelanggan dituduh esok

Laporan Sinar Harian Jun lalu.
Laporan Sinar Harian Jun lalu.
A
A
A

KLANG - Seorang pengurus sebuah bank tempatan yang didakwa menyeleweng wang milik pelanggan akan dituduh atas empat pertuduhan di Mahkamah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima 47 laporan dengan kerugian mencecah RM14 juta melibatkan suspek sama.

Menurutnya, siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 60 tahun mendakwa wang simpanan berjumlah RM850,000 dikeluarkan tanpa pengetahuannya 14 Januari lalu.

"Mangsa pergi ke bank terbabit pada 2 Disember 2020 dan berurusan dengan suspek berkenaan untuk menyertai satu skim pelaburan yang ditawarkan berjumlah RM130,000 dan memberi kepercayaan kepada suspek untuk menguruskan akaun bank berkenaan.

"Mangsa mengesyaki wang simpanan terbabit telah dikeluarkan oleh pengurus sebuah bank tempatan di daerah Klang tanpa pengetahuan dan kebenarannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hoong Fong berkata, sejak menyerahkan buku akaun berkenaan, mangsa tidak mengetahui terdapat transaksi pengeluaran wang miliknya sehingga mangsa pergi ke bank terbabit untuk membuat semakan pada 14 Januari.

Pada 27 Jun Sinar Harian melaporkan, Polis Selangor menafikan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa berhubung kes penyelewengan membabitkan suspek terbabit.

Polis Selangor dalam satu kenyataan dilapor berkata, siasatan berhubung kes berkenaan turut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejurus menerima laporan pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Hoong Fong berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun itu akan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan melibatkan kerugian berjumlah RM164,000.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi laporan polis berkenaan yang melibatkan pasukan siasatan “task force” JSJK Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor," katanya.