Zii Jia guna raket baharu di Terbuka Denmark

Zii Jia menggunakan raket baharu ketika sesi latihan. - Foto FB Zii Jia
Zii Jia menggunakan raket baharu ketika sesi latihan. - Foto FB Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendapat tonik untuk bersaing di Terbuka Denmark apabila bakal menggunakan raket baharu pada kejohanan tersebut.

Perkembangan itu diumumkan sendiri pemain berusia 24 tahun itu sambil memberitahu dia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor iaitu sebuah syarikat pengeluar barangan sukan dari Taiwan sebelum ini sekali gus menyebabkannya diberikan penghormatan untuk menggunakan raket model baharu TK-Ryuga II yang dilancarkan Ogos lalu.

"Anda semua mungkin perasan bahawa saya menggunakan TK-RYUGA baru-baru ini.

"Sepanjang bulan lalu, saya beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pasukan saya untuk menyelaraskan perancangan latihan dan meningkatkan prestasi. Saya mencadangkan perubahan sementara raket saya.

"Saya sangat menyukai reka bentuk dan pengalaman memukul TK-RYUGA II dan saya pasti akan menggunakannya lagi dalam kejohanan pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, pada masa ini, saya memutuskan untuk menggunakan TK-RYUGA, saya sudah gunakan untuk tempoh yang lama dan berharap dapat mengembalikan perasaan sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Zii Jia membuat hantaran berkenaan sebagai penjelasan kepada peminatnya yang menimbulkan persoalan di media sosial mengenai pertukaran raket pemain itu ketika sesi latihan.

Raket model TK-Ryuga boleh dianggap istimewa buat pemain nombor tiga dunia itu yang menyaksikan dia berjaya meraih kejuaraan Seluruh England 2021 ketika masih bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ketika itu turut ditaja Victor.

Artikel Berkaitan:

"Saya benar-benar berterima kasih kepada @victorsport_official kerana menerima idea saya dan meletakkan prestasi dan keperluan saya sebagai keutamaan. Sokongan dan kepercayaan mereka membolehkan saya menyahut cabaran ke hadapan.

"Saya sentiasa gembira mendapat sokongan kuat daripada pasukan saya, keluarga, semua peminat dan penaja saya. Saya akan melakukan segala yang mampu untuk mengembalikan Lee Zii Jia yang tidak gentar dan membuat permulaan yang baharu," katanya.

Pada kejohanan Terbuka Denmark, Zii Jia bakal memulakan kempen menentang pemain Belanda, Mark Caljouw pada aksi pusingan pertama.