Zii Jia layak ada dalam projek RTG - Stuart

Zii Jia antara 11 pemain badminton negara yang menjadi prospek menyumbang pingat emas pada Sukan Olimpik.
Zii Jia antara 11 pemain badminton negara yang menjadi prospek menyumbang pingat emas pada Sukan Olimpik.
A
A
A

STATUS jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selaku pemain yang menghuni ranking keempat dunia ketika ini melayakkan dia berada dalam senarai projek Road to Gold (RTG).

Itu respon Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam ketika diajukan pertanyaan perihal penyenaraian nama Zii Jia dalam projek RTG menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah, Stuart berkata, nama pemain profesional negara itu tidak harus diketepikan dalam misi kontinjen Malaysia memburu kilauan emas sulung Sukan Olimpik.

“Penglibatan Zii Jia ini menunjukkan keterbukaan projek RTG dalam memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada mana-mana atlet yang berpotensi membutirkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.

“Pada masa ini, Zii Jia berada tempat keempat di dunia. Secara dasar kita tidak boleh terlepas pandang Zii Jia... kemasukannya tidak sepatutnya dipersoal kerana dia adalah pemain perseorangan nombor satu di Malaysia.

“Kita tahu dia mungkin ada sejarah yang masih diingati ramai, tetapi perkara itu sedang diselesaikan untuk memastikan peluang terbuka untuk Zii Jia dalam temasya Sukan Olimpik,” katanya.

Stuart berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Stuart beramah mesra dengan beberapa petugas media pada Majlis Berbuka Puasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada Selasa. - Foto MFL
Stuart beramah mesra dengan beberapa petugas media pada Majlis Berbuka Puasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada Selasa. - Foto MFL

Terdahulu, perdebatan tercetus dalam kalangan penganalisis mahupun peminat sukan tanah air apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan nama Zii Jia bagi projek RTG.

Ia berikutan prestasi tidak menentu juara Seluruh England 2021 itu sejak dia 'berpisah' dengan jurulatih kelahiran Indonesia, Indra Wijaya tahun lalu.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, penyenaraian Zii Jia dan enam lagi pemain badminton profesional negara dalam projek RTG telah mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“(Presiden BAM) Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria sendiri yang telah mengemukakan nama-nama atlet profesional ini untuk memastikan peluang diberi juga kepada mereka,” jelas Stuart yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MFL.

Tiga gandingan profesional negara yang terdiri daripada dua wakil beregu campuran - Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut berada dalam senarai RTG.

Mereka adalah antara 11 pemain badminton selain dua wakil daripada BAM - beregu utama lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu utama wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang tersenarai dalam projek RTG.

Projek RTG dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung Olimpik pada edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.