Liga-M musim depan tidak jejas tanpa Sarawak, Melaka

Stuart Ramalingam. - Foto Agensi. Laporan Sinar Harian pada Rabu
Stuart Ramalingam. - Foto Agensi. Laporan Sinar Harian pada Rabu
A
A
A

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) tetap akan berjalan seperti yang dirancang meskipun pasukan bertanding akan berkurangan kepada 16 pasukan berbanding 18 sekiranya Sarawak United dan Melaka United gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tetap akan meneruskan saingan dengan 16 pasukan walaupun ketiadaan dua pasukan terbabit sama seperti idea untuk musim 2024.

“Betul kalau dua pasukan ini tidak mendapat lesen kita akan kekal dengan format 16 pasukan, sama seperti idea untuk musim 2024 di mana kita ada 16 pasukan sahaja," katanya.

Pada Rabu, Sarawak dan Melaka gagal mendapatkan lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga-M musim depan selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan 'First Instance Body' (FIB).

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak muncul pasukan paling bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan manakala Melaka pula hanya satu dengan masalah utama berkaitan kegagalan melunaskan tunggakan gaji sehingga Ogos 2022.

Bagaimanapun, pasukan terbabit diberi peluang untuk membuat rayuan bermula hari ini sehingga 19 Oktober ini dengan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang yang berbaki tujuh hari lagi.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan kemungkinan Sarawak dan Melaka bakal diturunkan 'pangkat' dengan beraksi di saingan Liga M3 pada musim depan, Stuart menjelaskan segala pengesahan tentang itu perlu diputuskan oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL).

"Berdasarkan format dan struktur liga kita, saya tidak mempunyai kapasiti untuk komen mengenai kemasukan Sarawak United atau Melaka United dalam Liga M3 kalau jatuh dari Liga Super.

Artikel Berkaitan:

"AFL boleh membuat keputusan untuk menerima pasukan itu dalam saingan Liga M3 atau tidak," jelas beliau.