'Saya akan buat lagu baharu, raya tahun depan'

Aliff Syukri (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis.
Aliff Syukri (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Jika orang lain resah bila dihadapkan ke mahkamah, tetapi lain pula dengan sikap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Sukri Kamarzaman yang merancang menghasilkan lagu baharu.

"Saya akan buat lagu baharu, raya tahun depan," kata Aliff Syukri selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan membuat video bersifat sumbang, April lalu.

Ketika ditemui selepas membayar ikat jamin sebanyak RM20,000, usahawan kosmetik ini berkata, video berkenaan dibuat sekadar suka-suka kerana minatnya yang mendalam dalam bidang muzik.

Ditanya sama ada timbul rasa serik untuk membuat video baharu selepas didakwa di mahkamah, beliau yang terkenal dengan slogan 'terlajak laris', hanya menjawab, semua itu sekadar hobi dan tidak menyangka perkara berkenaan berlaku sehingga ke tahap ini.

Ahli perniagaan berusia 35 tahun ini juga memohon agar semua pihak mendoakan perkara-perkara yang baik kerana beliau telah melaksanakan tugas sebagai rakyat Malaysia.

"Doakan yang baik-baik sahaja, saya akan keluarkan lagu baharu pada hari raya nanti, Insya-ALLAH tahun hadapan.

"Saya maklumkan sekali lagi, apa saya buat ini hanya hiburan semata-mata, saya pun tidak boleh cakap lebih sebab kes masih dalam perbicaraan," katanya selepas disoal oleh media sama ada video terbaharu kelak akan lebih tertib.

Pada pagi Khamis, Aliff Syukri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan membuat video bersifat sumbang, enam bulan lalu.

Beliau dituduh telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram, di akaun 'aliffsyukriterlajaklaris'.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi lima minit 23 saat dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.