[VIDEO] Aliff Syukri tidak mengaku buat video sumbang

Aliff Syukri
Aliff Syukri
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan membuat video bersifat sumbang, April lalu.

Aliff Syukri, 35, selaku orang kena saman (OKS), hadir di mahkamah dengan berkemeja putih membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, Aliff Syukri dituduh telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram melalui akaun 'aliffsyukriterlajaklaris'.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 13 15, 17 dan 21 April lalu dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) Cyberjaya di sini pada 24 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala Aliff Syukri diwakili peguam Awang Armadajaya Mahmud dan Hasshahari Johari Mawi.

Semasa prosiding, Fazril Sani berkata, pendakwaan mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

"Jumlah ini adalah munasabah, maka kami mohon nilai itu dikekalkan bagi memastikan kehadirannya dalam prosiding akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Hasshahari merayu agar mahkamah meletakkan kadar ikat jamin pada kadar yang rendah.

"OKS menyara keluarganya iaitu seorang isteri serta lima anak yang mana tiga bersekolah dan dua lagi masih kecil.

"Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan pegawai penyiasat sepanjang proses siasatan dijalankan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Rizki membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 November depan untuk sebutan kes.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuhan gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi lima minit 23 saat dianggap netizen telah mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan tarian dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.