808 PPS dikenal pasti tempatkan mangsa banjir di Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 808 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti yang mampu menempatkan lebih 166,000 mangsa banjir di negeri ini sekiranya bencana itu berlaku.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai persiapan menghadapi banjir tahun ini, kerajaan negeri turut menyediakan 156 pangkalan hadapan di kawasan-kawasan berisiko.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 6,683 anggota pasukan penyelamat pelbagai agensi telah bersiap sedia untuk penugasan operasi banjir.

"Terdapat 474 kenderaan penyelamat dan 231 bot dari pelbagai agensi akan digunakan dalam operasi banjir termasuk untuk memindahkan mangsa dan penyaluran bantuan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan permohonan yang diterima daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk persiapan menghadapi banjir membabitkan peruntukkan RM47 juta tidak termasuk kos penyediaan bekalan makanan dan barang keperluan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Persiapan Banjir Petronas kepada Kerajaan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, peruntukan yang diluluskan itu antaranya bagi menyediakan helipad sempurna untuk memudahkan penyaluran bantuan terutama di kawasan terputus hubungan.

Selain itu, ia juga digunakan untuk membina pusat pemindahan kekal yang lebih selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan sebagaimana yang telah dibina di Pekan, Maran dan Lipis.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan itu juga bagi pembelian bot dan aset logitik serta penyediaan latihan kepada komuniti," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menaikkan peruntukan kepada Tabung Bencana Daerah daripada RM20,000 sebelum ini kepada RM50,000.

Sementara itu katanya, proses penghantaran aset dan bantuan ke pangkalan hadapan juga digerakkan lebih awal sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Boleh dikatakan, kerajaan negeri telah berusaha sedaya upaya dalam mempersiapkan usaha berdepan banjir supaya masalah yang berlaku dapat dikurangkan,"katanya.

Tambah beliau, dalam aspek bantuan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan diselaraskan supaya proses agihan berjalan lancar dan tersusun.