Kerajaan teliti saman pemula Charles Santiago

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

MELAKA - Kerajaan akan mengadakan perbincangan dan memberi pandangan berkenaan saman pemula yang difailkan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap tiga pihak susulan pembubaran Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, telah dimaklumkan mengenai perkara itu namun perlu mendapatkan pandangan Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum sebarang kenyataan atau keputusan dibuat.

"Saya masih belum berbincang dengan menteri, apakah pandangan beliau sebab (bekas) Ahli Parlimen Klang itu menyatakan dakwaan tidak berhak pembubaran Parlimen dan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

"Tapi kita nak tengok bagaimana keadaan dan peruntukan yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata beliau ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah, di sini, pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan Charles Santiago memfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen.

Saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Artikel Berkaitan: