PRU15: Kerusi Parlimen di Selangor dijangka sengit

Noorazli
Noorazli
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Sepang memberi bayangan kerusi Parlimen di Selangor dijangka sengit sekiranya kerajaan negeri ini terus kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Noorazli Said berkata, setiap parti mempunyai kelebihan kerana hanya berkempen dan memberi tumpuan untuk memenangkan calon di Parlimen sahaja.

"Sudah tentu tumpuan lebih terarah kepada kerusi Parlimen sahaja dan ini memberi kelebihan kepada semua parti bertanding," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun Noorazli memberitahu, keputusan kerajaan Selangor tidak membubarkan DUN dianggap hanya membazir masa pengundi selain kos perbelanjaan negara juga meningkat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Justeru, tegas beliau, UMNO Bahagian Sepang sudah bersiap siaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan tiga DUN yang tewas pada PRU14 lalu.

Noorazli berkata, seramai lima calon peringkat Parlimen dikemukakan kepada UMNO Selangor untuk diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Noorazli, selain nama beliau, empat nama lain dalam kalangan pimpinan bahagian termasuk seorang calon wanita dikemukakan untuk dipertimbang sebagai calon parti itu bagi menghadapi PRU15.

"Sekiranya saya dipilih, antara manifesto akan diketengahkan adalah menyelesaikan isu rakyat seperti banjir, pencemaran sungai akibat ternakan babi tidak terkawal dan mewujudkan ladang babi moden yang pernah dicanangkan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, selain itu, beberapa usaha akan diteruskan antaranya mewujudkan sebuah hospital yang pembinaannya sebelum ini tertunda, menambah rumah mampu milik dan menyelesaikan pelbagai masalah peniaga kecil di kawasan itu," katanya.

Beliau memberitahu, selain nama calon di peringkat Parlimen, lima senarai nama calon lagi masing-masing di peringkat DUN Tanjung Sepat dan Dengkil.

Katanya, senarai calon di dua DUN itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk mengetengahkan calon muda berusia 38 tahun.

"Kita mahu menampilkan mereka yang dikenali penduduk tempatan dan berpotensi memahami permasalahan dihadapi rakyat," jelas beliau.

Noorazli memberitahu, bagi DUN Sungai Pelek pula kerusi itu secara tradisinya ditandingi calon MCA.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kerajaan Selangor mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini keputusan diputuskan Pakatan Harapan (PH) itu kekal hingga hujung tahun ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.