Dua ahli sindiket seleweng diesel bersubsidi dicekup

Sebuah lori dan peralatan penyambungan yang dirampas dalam operasi berkenaan. - Foto KPDNHEP (Gambar kecil: Azman Adam)
Sebuah lori dan peralatan penyambungan yang dirampas dalam operasi berkenaan. - Foto KPDNHEP (Gambar kecil: Azman Adam)
A
A
A

SERDANG - Dua lelaki disyaki ahli sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Taman Industri Selesa Jaya di sini minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, premis tidak bernombor itu dipercayai digunakan sebagai pusat pemindahan dan stor penyimpanan oleh sindiket terbabit.

"Pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dianggarkan 9,000 liter bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti terbabit.

"Premis berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada KPDNHEP berhubung urusan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, pasukan serbuan menyita kesemua minyak diesel berkenaan termasuk sebuah lori, peralatan penyambungan dan dokumen perniagaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM99,350.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang mengaku bekerja di premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

"Bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Artikel Berkaitan: