Penggali kubur jelajah 14 negeri naik basikal

Jailani (berbaju merah) dan Mohamed Naguib memulakan kayuhan mereka di Sarawak. - Foto ihsan Jailani
Jailani (berbaju merah) dan Mohamed Naguib memulakan kayuhan mereka di Sarawak. - Foto ihsan Jailani
A
A
A

SEREMBAN - Dua penggali kubur melakukan 'kerja gila' pengembaraan ke 14 negeri sejauh 4,000 kilometer dengan berbasikal sebagai persiapan untuk menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2023 yang lokasinya di jadual akan diumumkan 17 Oktober ini.

Dua sahabat baik itu, Jailani Ahmad Zawawi, 33 dan Mohamed Naguib Farhan Malek, 33, memulakan misi kayuhan mereka pada Sabtu dengan bermula di Sarawak.

Memandangkan kedua-duanya masih bujang, mereka juga menjadikan misi tersebut sebagai kayuhan mencari jodoh.

Menurutnya, idea gila melakukan kayuhan berkenaan timbul pada Jun lalu dan ia mendapat restu daripada keluarga.

"Aktiviti berbasikal ini memang hobi kami dan kayuhan paling jauh setakat ini yang kami buat ialah dari Nilai ke Perak iaitu beberapa tahun lalu.

"Tapi memandangkan tidak lama lagi akan berlangsung Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2023, jadi kami jadikan kayuhan kali ini sebagai pemanas badan dan kalau ada rezeki dapat juga kami cari jodoh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jailani yang merupakan anak kedua dari lima beradik berkata, bersyukur kerana mendapat tajaan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan(NGO) untuk menjayakan misi berkenaan.

Katanya, mereka menyasarkan untuk menghabiskan kayuhan terbabit dalam tempoh dua bulan dan memilih untuk bermalam di masjid dan surau atau memasang khemah di lokasi bersesuaian bagi menjimatkan kos.

Artikel Berkaitan:

"Sasaran dalam tempoh sehari, kami melakukan kayuhan antara 50 ke 60 kilometer (km) dan ia juga bergantung kepada keadaan cuaca.

"Saya akui mungkin ada sesetengah orang fikir kami buat kerja gila lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, tapi kami mahu mencabar diri," katanya.

Apa yang menarik, kata Jailani, melakukan pengembaraan dengan berbasikal merupakan aktiviti yang menyeronokkan kerana ia peluang untuk mengenali cara hidup masyarakat di setiap negeri dengan lebih dekat.

Justeru itu katanya, jika ada mana-mana pihak yang sudi tawarkan tempat bermalam buat mereka ia sangat dialu-alukan.

"Kami tiada dana yang banyak, tapi dalam misi ini kami berniat menyumbang pewangi solat kepada para jemaah di masjid yang kami singgah.

"Diharap misi kami ini dipermudahkan daripada awal hingga akhir. Mohon doakan kami," katanya.