MBSA bentang Belanjawan 2023 bernilai RM579.38 juta

Mohd Rashidi (dua dari kanan) ditemui selepas pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji di Wisma MBSA di sini pada Selasa.
Mohd Rashidi (dua dari kanan) ditemui selepas pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji di Wisma MBSA di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan anggaran Belanjawan 2023 berjumlah RM579.38 juta dengan jangkaan defisit RM74.36 juta.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, RM435.8 juta atau 75.2 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM143.5 juta (24.8 peratus) pula untuk pembangunan.

Menurutnya, anggaran perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan perbandaran, saliran, jalan dan landskap bertambah sebanyak RM41.6 juta berbanding pada tahun lalu.

“Sejumlah RM74.36 juta defisit akan ditampung dengan menggunakan rizab MBSA,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan Shah Alam Lestari dan Tahan Uji di Wisma MBSA di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berkata, anggaran hasil pada tahun hadapan juga dijangka meningkat sebanyak RM17.6 juta iaitu RM505 juta berbanding RM487.3 juta pada tahun lalu.

“Hasil cukai menyumbang sebanyak RM338.4 juta atau 67 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil iaitu anggaran peningkatan hasil cukai taksiran RM7.3 juta berbanding anggaran tahun semasa.

“Hasil bukan cukai pula dijangka akan menyumbang sebanyak 31 peratus atau RM157.05 juta daripada jumlah keseluruhan hasil dan hasil bukan cukai dijangka bertambah sebanyak RM10.39 juta iaitu 7.1 peratus berbanding anggaran tahun lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan: