Atlet B-23 galas cabaran di Sukan SEA Kemboja

Norza - Foto Agensi
Norza - Foto Agensi
A
A
A

TIADA lagi atlet 'veteran' yang bakal beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun depan tanpa melepasi had kelayakan Kategori A, iaitu kedudukan tiga terbaik di Asia Tenggara.

Ia berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa yang menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah (B-23) boleh mewakili negara dalam Kategori B.

Walaupun syarat kelayakan bagi Kategori A (kedudukan tiga teratas bagi sukan individu dan empat teratas bagi kumpulan) serta Kategori B (enam teratas) tidak berubah berbanding edisi lepas, namun keputusan itu menyaksikan pertimbangan bagi Kategori B hanya diberikan kepada atlet muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia merupakan platform terbaik bagi persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk mengetengahkan atlet-atlet muda yang mempamerkan prestasi baik pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, baru-baru ini.

Sejak dari awal lagi, kita maklumkan bahawa Sukan SEA ialah sukan untuk pembangunan. Kita perlu menghantar atlet muda sebagai pendedahan, ini bukan Sukan Komanwel atau Sukan Asia atau Olimpik.

"Inilah masanya untuk NSA, ia berdasarkan keputusan Sukma yang lepas bertujuan memastikan persatuan tertentu mempunyai pelapis (atlet pelapis) di peringkat antarabangsa. Maka Sukan SEA merupakan platform terbaik untuk menonjolkan atlet-atlet muda," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Beliau yang juga Presiden MOM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, BAM sebagai contoh telah memberikan peluang kepada pemain seawal usia 16 dan 17 tahun pada Sukan SEA Hanoi Mei lepas.

Beliau turut memberi bayangan bahawa had umur bagi Kategori B mungkin diturunkan ke 21 tahun ke bawah bagi Sukan SEA seterusnya, berikutan had umur Sukma juga akan kembali ke 21 tahun ke bawah selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Sukma kali ini menyaksikan had umur dinaikkan sehingga 23 tahun bagi atlet yang sudah berdaftar untuk Sukma 2020, selepas temasya itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Bagi temasya antarabangsa, semua kos penyertaan bagi atlet Kategori A ditanggung MOM, manakala kos bagi Kategori B ditanggung atlet atau persatuan sukan yang terlibat, tetapi dibayar balik jika mereka berjaya membawa pulang pingat.

Namun, bagi sukan-sukan baharu dan bukan ahli gabungan MOM seperti e-sukan, gusti, renang sirip, jiujitsu, jetski, arnis dan vovinam, beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan membuat pertimbangan berasingan, dengan syarat tambahan yang akan ditetapkan kemudian.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli serta dua ahli bebas, bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad dan bekas ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abas. - Bernama