Selamat tinggal Sukan SEA Kemboja!

Orang ramai teruja menyaksikan persembahan bunga api pada majlis penutup Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama
Orang ramai teruja menyaksikan persembahan bunga api pada majlis penutup Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS menempuh cabaran selama 11 hari pertandingan, ketabalan, drama dan emosi oleh atlet rantau ASEAN, Sukan SEA Kemboja 2023 akhirnya dengan rasminya ditutup dengan persembahan penuh berwarna warni dan bertenaga di Stadium Nasional Morodok Techo, di sini, malam tadi.

Hujan lebat beberapa jam sebelum majlis bermula pasti tidak menjejaskan kemeriahan pesta yang menampilkan persembahan cahaya, esan visual, bunyi, bunga api dan lebih penting lagi, budaya Kemboja.

Sejumlah 75,000 penonton membanjiri stadium tersebut untuk menyaksikan majlis penutup temasya edisi ke-32 yang buat julung kali dianjurkan oleh negara itu.

Persembahan itu dimulakan dengan persembahan muzikal bertema 'See You Again' oleh barisan penyanyi tersohor negara itu dan penari tempatan diikuti dengan persembahan seni mempertahankan diri yang menakjubkan dalam segmen 'The Great Soul of Kun Bokator'.

Persembahan istimewa disajikan kepada para penonton sempena acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama
Persembahan istimewa disajikan kepada para penonton sempena acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama

Kun Bokator ialah seni mempertahankan diri tradisional Khmer (Kemboja) sejak zaman purba yang melibatkan pelbagai gerakan tangan serta lutut dan disenaraikan sebagai salah satu acara sukan pertama kali diperkenalkan dalam sukan dwitahunan itu

Perarakan masuk maskot, pegawai kontinjen, 1,000 atlet dan 2,000 sukarelawan yang berkerja tanpa jemu untuk memastikan kelancaran temasya sukan itu disambut dengan sorakan daripada penonton.

Penonton kemudian dihiburkan dengan tayangan video memaparkan sorotan aksi sepanjang temasya itu termasuk penampilan khas alet kebangsaan Kemboja, Bou Sammang, yang menuju ke tengah padang, diiringi tepukan gemuruh daripada penonton.

Suasana meriah dapat disaksikan pada acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama
Suasana meriah dapat disaksikan pada acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada Rabu. - Foto Bernama

Walaupun menduduki tempat terakhir, Sammang memenangi hati peminat sukan tempatan dan antarabangsa apabila beliau meneruskan lariannya dalam hujan semasa perlumbaan 5,000 meter (m) wanita pada 8 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tea Banh, kemudian naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah Atlet Terbaik Sukan SEA ke-32, kepada dua atlet wanita - perenang Singapura, Ting Wen Quah dan wakil vovinam Kemboja, Pal Choraksmey atas pencapaian luar biasa di temasya kali ini.

Wen Quah merangkul enam pingat emas dan dua perak daripada kolam renang manakala Choraksmey memperoleh empat emas, satu perak dan satu gangsa.

Perdana Menteri, Hun Sen, kemudian diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan secara rasminya temasya sukan yang bermula 5 Mei lalu.

Semasa obor temasya dipadamkan di Phnom Penh, bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Sukan SEA ke-32 diturunkan dengan iringi lagu SEAGF yang dinyanyikan oleh 64 orang kanak-kanak.

Banh, mewakili Jawtankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) kemudian menyerahkan bendera itu kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT), Jeneral Prawit Wongsuwon selaku tuan rumah edisi akan datang pada 2025.

Gabenor pihak berkuasa sukan Thailand, Gongsak Yodmani (tiga, kanan) mengibarkan bendera rasmi Sukan Asia Tenggara sebagai simbolik Thailand sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-33. - Foto Bernama
Gabenor pihak berkuasa sukan Thailand, Gongsak Yodmani (tiga, kanan) mengibarkan bendera rasmi Sukan Asia Tenggara sebagai simbolik Thailand sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-33. - Foto Bernama

Ia disusuli denngan persembahan kebudayaan daripada wakil Thailand membabitkan simbol budaya, jiwa dan identiti masyarakat negara Gajah Putih itu.

Thailand akan menjadikan tuan rumah edisi ke-33 di tiga bandar utama negara itu, Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Dis, 2025.

Vietnam mempertahankan gelaran juara keseluruhan carta kedudukan pingat di sini dengan mengumpul 136 emas, 105 perak dan 118 gangsa, selepas mengumpul 205-70-104 ketika menjadi tuan rumah edisi lepas di Hanoi pada 2021.

Persembahan istimewa dari negara Thailand sebagai tuan rumah Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-33 akan datang di Stadium Nasional Morodok Techo. - Foto Bernama
Persembahan istimewa dari negara Thailand sebagai tuan rumah Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-33 akan datang di Stadium Nasional Morodok Techo. - Foto Bernama

Kemboja mencatatkan prestasi terbaik sepanjang tempoh penyertaan mereka pada temasya sukan dwitahunan itu apabila mengakhiri saingan di tempat keempat selepas mengutip 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.

Malaysia, melalui detik hitam di edisi Kemboja apabila mencipta pencapaian terburuk dalam sejarah temasya sukan itu dengan kedudukan ketujuh serta gagal mencapai sasaran 40 emas.

Malaysia hanya mampu mengumpul 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa. - Bernama

Barisan atlet dari Malaysia berarak masuk pada acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo. - Foto Bernama
Barisan atlet dari Malaysia berarak masuk pada acara penutup Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo. - Foto Bernama