Budak maut tercampak, kereta dipandu bapa langgar lori

Keadaan kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Jalan Bukit Besar RTB Bukit Canggang menghala ke KLIA pada Selasa.
Keadaan kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Jalan Bukit Besar RTB Bukit Canggang menghala ke KLIA pada Selasa.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang kanak-kanak lelaki maut setelah tercampak ke bahagian tempat duduk penumpang belakang apabila kereta yang dipandu bapanya melanggar sebuah lori dalam kejadian di Jalan Bukit Besar RTB Bukit Canggang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 10.58 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.16 pagi.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki dua beranak iaitu seorang lelaki berumur 39 tahun bersama anak lelakinya berumur dua tahun melanggar bahagian belakang sebuah lori tiga tan berhampiran lampu isyarat di lokasi kejadian.

"Lelaki berkenaan telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala anaknya telah tercampak ke bahagian ruang belakang kereta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, anggota bomba yang tiba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Banting oleh pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Anaknya yang berumur dua tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan untuk tindakan lanjut pihak polis," katanya.

Artikel Berkaitan: