Pacquiao bertinju di Korea Selatan kumpul dana untuk Ukraine

Pacquiao (kanan) dan Yoo pada sidang media di Seoul, Korea Selatan pada Selasa. - Foto EPA
Pacquiao (kanan) dan Yoo pada sidang media di Seoul, Korea Selatan pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A

PETINJU hebat Filipina, Manny Pacquiao akan bertarung dalam perlawanan pertunjukan di Korea Selatan pada musim sejuk ini bagi mengumpul dana untuk negara dilanda perang, Ukraine, umum penganjur acara itu pada Selasa.

Pacquiao, satu-satunya juara dunia divisyen lapan dalam sejarah tinju akan menentang ahli seni pertahanan diri Korea Selatan, DK Yoo pada 11 pagi 11 Disember di Pusat Pameran Antarabangsa Korea (KINTEX) di Goyang, lapor agensi berita Yonhap.

Hasil daripada perlawanan itu akan didermakan untuk bantuan dan pemulihan di Ukraine.

Kali terakhir Pacquiao, 43, mengadakan perlawanan rasmi ialah pada Ogos 2021. Pertandingan pertunjukan ini akan mengikuti peraturan tinju enam pusingan dua minit. Kedua-dua peserta akan memakai sarung tangan 10 auns.

"Saya gembira dan teruja atas peluang ini,” kata Pacquiao pada sidang media di Seoul bagi mengumumkan butiran perlawanan itu.

"Pertarungan adalah yang sebenar. Kami akan cuba mengalahkan satu sama lain. Itu sebab kami perlu bekerja keras," katanya.

Pacquiao berkata, beliau akan menggunakan pertarungan ini untuk memutuskan sama ada akan kembali ke arena tinju profesional atau kekal untuk perlawanan pertunjukan sahaja.

"Ia bergantung. Kita akan lihat keputusan pada 11 Disember," kata Pacquiao sambil tersenyum. Rekod kerjayanya ialah 62 kemenangan (39 KO), lapan kalah dan dua seri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yoo yang telah menambah bilangan pengikut yang ramai di YouTube menerusi klip yang menunjukkan teknik pertarungan, berkata, beliau menyahut cabaran untuk bertarung dengan seorang yang hebat sepanjang zaman.

"Jelas sekali, saya sedar Pacquiao menjadi pilihan,” kata Yoo yang tewas kepada bekas pejuang Ultimate Fight Championship (UFC), Bradley Scott dalam perlawanan tinju tahun lalu.

"Namun saya lebih besar dan saya berharap dapat memanfaatkan kelebihan itu. Saya tidak memikirkan keputusannya sekarang. Matlamat saya adalah untuk berlatih bersungguh-sungguh dan menunjukkan kepada atlet hebat seperti Pacquiao, kemampuan saya,” katanya.

Pacquiao berkata, beliau sedar cabaran sebenar untuk melawan dengan musuh yang lebih besar.

"Saya telah berlawan dengan lelaki yang lebih besar sejak 2000. Bukan perkara baharu bagi saya untuk melawan lelaki yang lebih besar dalam tinju.

"Saya perlu kerja keras dan jalani latihan yang sukar," katanya.

Pacquiao berkata, beliau telah melihat klip pertarungan Yoo menentang Scott dan nampak ada penambahbaikan yang dibuat oleh pemain Korea Selatan berusia 43 tahun itu.

"Tinju lebih sukar berbanding seni mempertahankan diri.

"Dia perlu belajar lebih banyak dan berlatih bersungguh-sungguh untuk bertinju kerana ia memerlukan stamina, gerak kaki dan pergerakan kepala,” katanya.

Pacquiao sudah lama menceburi bidang politik di Filipina. Beliau berkhidmat di Dewan Rakyat dari 2010 hingga 2016 dan di Dewan Negara dari 2016 hingga 2022. Beliau bertanding jawatan presiden awal tahun ini namun tewas kepada Ferdinand Marcos Jr.

Pacquiao yang juga meminati bola keranjang berkata, beliau pernah menjadi pemilik pasukan dalam Persatuan Bola Keranjang Filipina dan mengasaskan liga separa profesional di negara itu. Beliau bermain bola keranjang untuk kekal sihat selepas kerjaya tinjunya berakhir. - Bernama