Episod selepas pembubaran Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat khas parti-parti politik telah pun dimulakan selepas pembubaran Parlimen diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

UMNO memulakan mesyuarat khas dengan Mesyuarat Biro Politik disusuli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat berkenaan telah membuat ketetapan mencadangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat sebelum pertengahan November.

"UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15.

"UMNO berpendapat PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan November, iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh," katanya.

Pada masa sama, status kerjasama UMNO-Pas turut terungkai apabila Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Pas telah gagal memenuhi syarat untuk membolehkan mereka meneruskan kerjasama bagi menghadapi PRU15.

"Kita tak ubah syarat kita iaitu tiga perkara yang presiden sebut. Bila Pas tak terima (syarat) tu, dengan sendirinya (tawaran kerjasama) gugur, itu saja.

"Kalau tak ada (kerjasama) memang maknanya akan ada pertandingan (pertembungan kerusi UMNO-Pas)," katanya.

Artikel Berkaitan:

UMNO juga akan memulakan proses pemilihan calon PRU15 pada Selasa apabila pengerusi perhubungan negeri-negeri akan mengemukakan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan untuk dipilih dan dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga turut mengadakan mesyuarat tertutup di ibu pejabatnya di Petaling Jaya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menegaskan gabungan itu bersedia menghadapi PRU15 dan berharap dapat mengekalkan mandat diberikan rakyat pada pilihan raya umum sebelum ini.

Beliau pada masa sama menafikan laporan media mendakwa PH menolak permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

Episod melibatkan parti-parti politik dijangka berterusan sepanjang minggu ini sementara SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi.

Sementara itu, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan mengadakan sidang akhbar jam 12 tengah hari Selasa Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya.

Dewan Tertinggi BN juga dijangka mengadakan mesyuarat khas pada sebelah malam di WTC.

Selain itu, isu kekecewaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkait situasi politik semasa juga dijangka mencuri tumpuan.

Kenyataan Istana Negara yang tidak memperincikan perkara tersebut menimbulkan persoalan.

Bagaimanapun, UMNO menyifatkan hanya Ismail Sabri yang layak menjawab isu berkenaan dan kemungkinan akan dijelaskan dalam tempoh beberapa hari.