Pembubaran DUN Terengganu diketahui Selasa

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan atau tidak diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas pada pagi Selasa di Kuala Lumpur.

Perkara itu diberitahu menerusi kenyataan rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada malam Isnin.

"Sebarang keputusan pembubaran, akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas awal pagi esok (Selasa)," katanya.

Mengulas mengenai pembubaran parlimen, Ahmad Samsuri menegaskan, pihak yang berkeras untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh negara berdepan kemungkinan bencana banjir merupakan liabilti kepada negara dan wajar ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, Pas berulang kali menegaskan tempoh waktu yang tidak sesuai diadakan PRU15 memandangkan negara bakal berdepan suasana banjir yang bukan sahaja berlaku di Pantai Timur.

"Memaksa pilihan raya diadakan pada saat rakyat menghadapi kesusahan ini amat tidak sesuai dan memberikan indikasi bahawa parti yang mendesak hanya memikirkan diri mereka sahaja.

"Rakyat boleh membuat berbagai andaian berkenaan tujuan dan kehendak pembubaran yang dipaksa ini, walaupun tinjauan awam menunjukkan lebih dua per tiga rakyat tidak setuju PRU15 diadakan ketika ini," katanya.

Mengulas perkara sama pada Ogos lalu, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa petang Isnin selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi memberi laluan kepada PRU15.