Hospital Maran mula dibina tahun depan

Ismail menunjukkan lokasi pembinaan Hospital Maran yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun hadapan ketika melakukan tinjauan di tapak Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran pada Isnin.
Ismail menunjukkan lokasi pembinaan Hospital Maran yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun hadapan ketika melakukan tinjauan di tapak Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran pada Isnin.
A
A
A

MARAN - Hospital Maran yang diluluskan projek pembinaan sejak tahun 2018 dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

Bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, pembinaan hospital itu dianggarkan berjumlah RM350 juta dan akan menjadi pusat sehenti bagi kajian penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur.

"Projek ini membabitkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar dan apabila siap kelak, hospital Maran dapat memberi manfaat kepada lebih 140,000 penduduk di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di tapak Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran pada Isnin.

Ismail menjelaskan, bagi tujuan pembinaan, proses tender akan dibuka awal tahun hadapan.

"Kerja-kerja tanah sudah dimulakan, namun bagi proses tender boleh dibuat selepas bajet diluluskan pada Jumaat lalu," ujarnya.

Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menambah, pembinaan hospital itu juga dapat memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar jika berlaku kecemasan.

Menurutnya, jarak hospital terdekat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh barada sejauh 48 kilometer (km).

Artikel Berkaitan:

"Satu lagi hospital di bandar pusat Jengka terletak 55 km dari Maran dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pula jaraknya lebih 70 km.

"Jadi, pembinaan hospital di Maran adalah satu keperluan dan perlu diberi keutamaan, selagi saya dipilih sebagai ahli Parlimen Maran, saya akan pastikan projek ini menjadi kenyataan," tegas beliau.

Mengulas mengenai kelewatan proses pembinaan walaupun projek diluluskan kira-kira empat tahun lalu, Ismail berkata, ia berpunca daripada perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau ikutkan bukan projek hospital ini sahaja berdepan masalah, tapi ada beberapa projek lain ditangguhkan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Dalam keadaan kerajaan yang tidak stabil, ia memberi kesan kepada peruntukan dan projek diluluskan sebelum PRU14," jelas beliau.