Harga tiket ECRL berpatutan - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tengah) ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada Khamis.
Wan Rosdy (tengah) ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN – Harga tiket perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditetapkan pada kadar berpatutan dan mampu dibayar golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penetapan tambang itu mengambil kira kajian bagi memastikan kadarnya bersesuaian dengan kemampuan pengguna.

“Setelah dikaji, kita rasakan ia berpatutan dan mampu dibayar oleh mereka yang berpendapatan B40 pun saya fikir mampu.

"Harganya juga tidak jauh berbeza dengan tambang bas, manakala tambang kapal terbang lebih tinggi.

"Saya dapati dalam media sosial tiada komen negatif pun berhubung tambang itu. Malah, ramai yang menyambut baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini pada Khamis.

Pada 19 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak memaklumkan Jemaah Menteri meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU dan pesara kerajaan, manakala pelajar berusia 13 hingga 24 tahun menerima diskaun 40 peratus.

Tambang kelas ekonomi ECRL bagi laluan Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala bagi transit, manakala perkhidmatan ekspres RM147.

Tambang bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu pula bermula RM95 dan RM110, manakala Gombak-KotaSAS bermula RM60 dan RM68.

Artikel Berkaitan:

Mengulas cadangan pemberian diskaun khas kepada anak Pahang termasuk sempena hari lahir, Wan Rosdy berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama Malaysia Rail Link (MRL) kerana berada di luar bidang kuasanya.

Bagaimanapun menurutnya, sebarang cadangan berkaitan pemberian diskaun perlu diteliti terlebih dahulu

“Kita kena tengok implikasi kewangannya macam mana,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut mengemukakan cadangan supaya laluan ECRL diperluaskan hingga ke Rompin dan Kuala Lipis.

Bagaimanapun, ujarnya, cadangan itu memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan mengenai peluasan laluan dibuat.

Menyentuh mengenai Majlis Apresiasi terbabit, Wan Rosdy berkata, seramai 47 pelatih berjaya menamatkan latihan teknikal selama setahun di China sebelum ditawarkan pekerjaan oleh MRL

Menurutnya, inisiatif itu merupakan usaha proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama MRL, Universiti College Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang bagi menyediakan tenaga kerja mahir sebelum operasi ECRL bermula.

“Bermakna, tidaklah bila ECRL ini beroperasi, baru kita nak cari tenaga kerja. Kita telah pun menyediakan peluang pekerjaan kepada MRL.

"Kita berharap anak jati Pahang diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan di tujuh stesen ECRL di negeri ini," jelasnya.

Wan Rosdy menambah, usaha melatih anak Pahang dalam bidang teknikal itu akan diteruskan dan kerajaan negeri bersedia membantu membiayai kursus lanjutan sekiranya diperlukan, mengikut keperluan MRL.

Ujarnya, latihan berkenaan perlu diselaraskan dengan keperluan MRL bagi memastikan kemahiran yang dipelajari bersesuaian dengan tugas yang diperlukan syarikat itu.

“Usaha ini tidak noktah setakat ini sahaja. Kalau sekiranya perlu ada kursus lanjutan, kita juga sanggup untuk membiayai dan membantu mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!