'Jaga UMNO, jangan campur urusan Bersatu'

Muhammad Faiz (kiri) dan Fat Full (dua dari kiri) diringi Mahathir (empat dari kiri) ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Flat Taman Sejahtera, Segambut pada Isnin.
Muhammad Faiz (kiri) dan Fat Full (dua dari kiri) diringi Mahathir (empat dari kiri) ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Flat Taman Sejahtera, Segambut pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Saya minta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jaga UMNO dan jangan sibuk dengan parti orang lain,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Beliau menegaskan, Presiden UMNO itu perlu menyelesaikan masalah dalaman parti berkenaan bukannya sibuk melobi ahli Bersatu untuk keluar parti.

“Zahid kena muhasabah diri bahawa beliau sendiri terpalit dengan kes pendakwaan mahkamah.

"Ahli akar umbi UMNO sendiri tidak setuju dengan cara beliau membawa parti itu termasuk gesaannya yang mahu mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada Persidangan Parti Bersatu Bahagian Segambut pada Isnin.

Turut hadir Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Md Rais.

Muhammad Faiz berkata, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff bukanlah pengasas Bersatu seperti yang didakwanya.

”Kebanyakan dasar dalam Bersatu bukan datang dari beliau (Rais) sebaliknya semua kepimpinan tertinggi Bersatu yang menyokong kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan

Artikel Berkaitan:

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika parti itu masih di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Sementara itu, nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full yang beranggapan Presiden UMNO sudah kering idea untuk berpolitik.

“Ahmad Zahid sebenarnya sudah hilang arah, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan dikala akar umbi UMNO itu sendiri sebenarnya sudah tidak dapat menerima kepimpinannya lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, jentera Bersatu sudah bersiap sedia jika pilihan raya umum hendak diadakan.

“Akar umbi, sayap Bersatu sudah bersedia sebaik mungkin untuk memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin melontarkan persoalan kepada ahli-ahli Bersatu bilakah mereka akan bertindak keluar daripada parti.

Kenyataan itu dikeluarkan Zahid berikutan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Jumaat lepas.