Agihan kerusi BN-MCA: Rundingan baik, bagus dan positif - Ab Rauf

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MASJID TANAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan rundingan dengan MCA berhubung pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai positif walaupun Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berpandangan berbeza.

Ab Rauf berkata, perbincangan itu berjaya meleraikan kebuntuan yang sebelum ini menimbulkan tanda tanya antara kedua-dua parti.

Menurutnya, hasil rundingan itu akan dimaklumkan sendiri oleh MCA pada masa yang sesuai.

“Baik, bagus. Kita dapat meleraikan kebuntuan yang selama ini menimbulkan tanda tanya.

“Kita tunggu MCA sendiri nanti akan memberikan hasil daripada rundingan yang saya bincangkan dengan beliau Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pagi Selasa, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa pertemuan membabitkan Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ab Rauf memperlihatkan perkembangan positif.

Bagaimanapun, Ka Siong berpandangan bahawa masih terlalu awal untuk menganggap rundingan antara BN dan MCA berhubung pengagihan kerusi PRN Melaka mencapai perkembangan positif.

Menerusi hantaran di Facebook, Ka Siong berkata, kedua-dua pihak masih perlu meneruskan perbincangan bagi mencari titik penyelesaian berhubung ketidakpuasan hati MCA terhadap pengagihan kerusi pada pilihan raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Ka Siong itu, Ab Rauf berkata, beliau menganggap perbincangan yang berlangsung sebagai positif.

“Tak apalah, biarlah dulu. Dengan saya dah positif. Bagi saya positiflah perbincangan itu. Insya-ALLAH.

“Tiada rundingan susulan memandangkan perbincangan di peringkat saya sudah selesai. Cuma, peringkat tertinggi akan membuat keputusan.

“Mengenai hasil rundingan itu, tunggu dulu. Tak bolehlah beritahu lagi,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ab Rauf turut mengulas penyertaan semula beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke dalam UMNO dan BN di Parlimen Masjid Tanah.

Beliau berkata, BN mengambil pendekatan terbuka untuk menerima penyertaan mereka yang disifatkan telah menyedari perjuangan UMNO dan BN.

“Saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih atas perhatian mereka untuk kembali bersama-sama dengan UMNO dan BN di Parlimen Masjid Tanah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!