Parlimen bubar atau tidak, PN sudah bersedia PRU15

Muhyiddin berkongsi foto beliau menyempurnakan majlis pelancaran PN Perak yang berlangsung malam Ahad. - Foto FB Muhyiddin Yassin
Muhyiddin berkongsi foto beliau menyempurnakan majlis pelancaran PN Perak yang berlangsung malam Ahad. - Foto FB Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak dalam masa terdekat, gabungan itu sudah bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujar beliau, PN juga sedia dengan tawaran baharu lebih baik untuk rakyat selari prinsip yang sentiasa mengutamakan rakyat, jika menang nanti.

“Saya percaya rakyat akan memilih PN kerana ia merupakan pilihan terbaik masa ini berbanding Pakatan Harapan yang terkenal kerana tidak menyempurnakan janji.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, insya-ALLAH,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin sempena pelancaran PN Perak malam tadi.

Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Perak merupakan negeri keempat selepas Johor, Kelantan dan Terengganu yang dilancarkan secara rasmi.

Namun menurutnya, gabungan parti yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu sebenarnya sudah lama bergerak sejurus selepas terbentuk kerajaan PN.

“Malah Perak merupakan antara negeri yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti dan program khususnya yang melibatkan rakyat.

“Pelancaran pada malam ini (Ahad) sungguh bermakna ketika khabar angin berhubung PRU15 semakin kencang bertiup.

Artikel Berkaitan:

“Saya menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, semangat yang ditunjukkan pada malam ini membuktikan PN sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.