Masuk bilik pelanggan tanpa kebenaran, pengusaha hotel dipukul

Seorang pengusaha hotel dipukul dan disimbah cat selepas dikatakan masuk ke bilik hotel tanpa kebenaran pelanggan di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Ahad.
Seorang pengusaha hotel dipukul dan disimbah cat selepas dikatakan masuk ke bilik hotel tanpa kebenaran pelanggan di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengusaha hotel dipukul sebelum disimbah cat selepas masuk ke bilik hotel tanpa kebenaran pelanggan dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 1 minit 44 saat yang merakamkan kejadian itu berlaku di hadapan sebuah hotel di taman tersebut.

"Polis menerima laporan mangsa yang berusia 62 tahun dipukul dan disimbah cat oleh beberapa lelaki tempatan pada jam 3.30 pagi semalam. Mangsa didapati cedera ringan.

"Hasil siasatan mendapati suspek berbuat demikian selepas mangsa selaku pengusaha hotel telah masuk ke bilik pelanggan tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Difahamkan pengusaha hotel berkenaan masuk ke bilik pelanggan menggunakan kad akses bilik berkenaan.

Mohd Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan.

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun di Jalan Tanjong, Taman Desa Cemerlang pada jam 11.30 malam Ahad.

"Tangkapan kedua dibuat terhadap dua lelaki tempatan berusia 31 dan 55 tahun di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai di sini pada jam 3.30 pagi tadi," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sohaimi berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, semua suspek tersebut direman empat hari bermula Isnin.