Ahmad Idham dilantik Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan

Ahmad Idham (kiri) dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan.
Ahmad Idham (kiri) dilantik sebagai Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri diumum sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa Ahad.

Jelas Ahmad Idham, lantikan itu diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim pada mesyuarat gerakan berkenaan di negeri di sini.

"Terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham yang telah saya asaskan dan gerakan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin memberi impak di mata masyarakat.

"Ia juga menjadi antara faktor yang dinilai oleh kepimpinan tertinggi GTA di Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelantikan itu bukan untuk dibanggakan sebaliknya jawatan diberikan merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.

"Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan di antara parti politik sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu.

"Buktinya, saya selaku Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin telah dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik.

"Saya akan terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya gerakan rakyat untuk mengangkat pemimpin melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Ogos lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta terbuka kepada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, ahli akademik serta profesional dalam kalangan Melayu.